DOHA: Lionel Scaloni mempertimbangkan untuk merombak skuad Argentina menjelang kempen Piala Dunia sekiranya pemain gagal membuktikan kecergasan.
Ketua jurulatih Albiceleste itu membawa 26 pemain ke Qatar dan akan membuka kempen Kumpulan C dengan menetang Arab Saudi, Selasa ini.
Penyerang AS Roma, Paulo Dybala antara yang disenaraikan biarpun baru pulih daripada kecederaan dan dia tidak memainkan peranan ketika Argentina membelasah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 kelmarin.
Mana-mana pasukan boleh membuat pertukaran pemain jika didapati cedera dan tempat mereka boleh diganti daripada senarai 55 pemain yang didaftarkan sebelum ini.
Scaloni tidak teragak-agak untuk membuat perubahan drastik sehari sebelum perlawanan pembukaan mereka.
“Kami berdepan sedikit masalah dan masih mempunyai beberapa hari untuk memutuskan senarai akhir pemain.
“Kami mungkin membuat perubahan, harapnya tidak tetapi ada kemungkinan.
“Terdapat beberapa pemain yang perlu diketepikan kerana mereka sama ada tidak cergas untuk bermain atau berdepan risiko kecederaan.
“Saya tidak mampu beri jaminan pemain ini akan kekal cergas. Secara dasarnya, mereka baik-baik saja tetapi anda perlu berhati-hati. Itulah sebabnya kami berwaspada,” katanya kepada TyC Sports. – AGENSI