DOHA: Argentina dilihat tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan C menentang Arab Saudi hari ini, sama ada dengan atau tanpa ‘superstar’, Lionel Messi.
Selepas mengharungi dua hari yang tidak menentu, malah hilang dari latihan skuad Albiceleste, penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu disahkan akan muncul di stadium Lusail memimpin pasukannya membuka kempen Piala Dunia 2022.
Sama ada dia cukup cergas untuk diturunkan atau tidak, Argentina dijangka mampu menumpaskan gergasi Asia, Arab Saudi untuk memulakan kempen merampas Piala Dunia dengan langkah kanan.
Berdasar prestasi semasa juga dilihat lebih memihak kepada pasukan yang diketuai Messi, selain rekod buruk Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan.
Pasukan dari Amerika Selatan itu tidak tewas dalam 36 perlawanan dan diperkuat dengan penjaring terbanyak mereka, Messi yang tampil dalam Piala Dunia buat kali kelima dan terakhir amat bersemangat untuk merampas kejuaraan dunia sebelum bersara.
Turun dengan misi menjulang kejuaraan, Messi pastinya akan memberi aksi terbaik bagi meletakkan dia sebaris dengan legenda, Diego Maradona.
“Saya sentiasa melihat dia (Messi) bersemangat untuk menikmati Piala Dunia.
“Dia gembira bersama rakan sepasukan, pada sesi latihan dan sepanjang proses bersama skuad kebangsaan,” kata jurulatih, Lionel Scaloni.
Argentina yang menduduki ranking ketiga dunia menjadi antara pasukan pilihan untuk muncul juara dalam kejohanan kali ini.
Berbanding Arab Saudi yang berada di kedudukan ke-51 dunia dan tewas kepada Venezuela, Colombia dan Croatia dalam beberapa siri aksi persahabatan.
Rekod mereka pada aksi pembukaan Piala Dunia juga buruk di mana mereka tewas 5-0 kepada Russia pada 2018 dan 8-0 di tangan Jerman pada 2002.
Bagaimanapun, mereka yang tampil buat kali keenam mara ke pusingan 16 terbaik pada 1994 mengesahkan tiket ke Qatar dengan mengungguli kumpulan di atas Jepun. – AGENSI