DOHA: Argentina memasuki Piala Dunia Qatar dengan keyakinan tertinggi apabila melebarkan rekod tanpa kalah kepada 36 perlawanan selepas membenam Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 dalam persiapan terakhir menjelang kejohanan bola sepak paling berprestij itu kelmarin.
Lionel Messi dan rakan-rakannya tiba di Qatar semalam dengan harapan mampu merampas kejuaraan dunia yang kali terakhir dimenangi pada 1986, sekali gus menyamai pencapaian legenda Argentina, Diego Maradona.
Kapten Argentina itu meledak gol ke-91 bersama skuad kebangsaan dalam aksi di Abu Dhabi, namun dia tetap berwaspada dengan peluang mereka sekali pun hadir sebagai pasukan pilihan.
“Kami berada dalam kumpulan yang menarik tapi kami hanya memikirkan satu perlawanan demi satu perlawanan.
“Kami sedar Piala Dunia tidak mudah,” katanya.
Argentina yang menjuarai Piala Dunia 1978 dan 1986 akan membuka kempen Kumpulan C dengan menentang Arab Saudi pada Selasa depan, diikuti Mexico dan Poland.
Sementara itu, juara bertahan, Perancis juga tiba di Doha semalam dalam misi menjadi pasukan pertama mengekalkan gelaran sejak Brazil pada 1962.
Sepuluh pemain yang membantu mereka menang di Rusia pada 2018 berada dalam skuad kali ini termasuk kapten, Hugo Lloris, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann tetapi mereka kehilangan jentera tengah, Paul Pogba dan N’Golo Kante.
Pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema sudah pulih daripada kecederaan dan bersedia berdepan Australia, Rabu depan. – AGENSI