LONDON: Argentina diramal akan menjuarai Piala Dunia 2022, hasil 64 perlawanan simulasi yang dijalankan EA Sports menggunakan konsol permainan video popular, FIFA 23.
EA Sports telah bermain semua 64 perlawanan bermula dari peringkat kumpulan sehinggalah ke final.
Lebih menarik, simulasi permainan yang dibuat EA Sports turut menobatkan kapten Argentina, Lionel Messi sebagai pemenang Kasut Emas selaku penjaring terbanyak, selain Pemain Terbaik Piala Dunia 2022.
Messi juga berada dalam senarai Pilihan Terbaik Piala Dunia bersama empat rakan senegaranya, Emiliano Martinez, Marcos Acuna, Leandro Paredes dan Rodrigo De Paul.
Pemain lain yang turut tersenarai merupakan Marquinhos, Vinicius Junior dan Richarlison dari Brazil; Raphael Varane dan Kylian Mbappe mewakili Perancis, serta pemain Portugal, Joao Cancelo.
Ini bukanlah kali pertama pihak EA Sports membuat perlawanan simulasi menjelang kejohanan bola sepak paling berprestij itu.
Dalam tiga edisi sebelum ini mereka turut melakukan perkara sama, dan ramalan yang dibuat menjadi kenyataan apabila Sepanyol, Jerman dan Perancis menjadi juara edisi 2010, 2014 dan 2018.
Bagaimanapun, terdapat ramalan yang tidak menjadi kenyataan seperti pada 2014, di mana Brazil dijangka mara ke final selaku tuan rumah, namun skuad Salecao dimalukan oleh Jerman 7-1 pada separuh akhir.
EA Sports juga meramalkan Sepanyol akan menamatkan edisi 2014 di tempat ketiga dengan menewaskan Portugal 3-1.
Kedua-dua pasukan tersebut bagaimanapun kandas di peringkat kumpulan.
Di Qatar 2022, Argentina diletak dalam Kumpulan C bersama Poland, Arab Saudi serta Mexico. – AGENSI