KUALA LUMPUR: Dua pemain wanita Malaysia, Aifa Azman dan Rachel Arnold gagal mengikut jejak langkah rakan senegara, Ng Eain Yow apabila mereka terkandas di pusingan kedua pada kejohanan skuasy Terbuka Singapura di Arena OCBC, Singapura, sebentar tadi.
Aifa yang menghuni ranking ke-24 dunia terpaksa akur di tangan bintang No. 6 dunia dari Mesir, Nour El Tayeb apabila tumpas straight set 6-11, 14-16, 4-11 dalam masa 28 minit.
“Saya sangat gembira berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama saya di Singapura dan berharap dapat melangkah lebih jauh lagi.
“Saya berjaya mendahului dalam set kedua, tetapi saya hilang fokus seketika dan Aifa pula mempamerkan persembahan yang lebih bagus.
“Saya bersyukur berjaya bangkit selepas itu dan seterusnya mengekalkan keyakinan saya untuk menutup aksi dengan kemenangan,” kata Nour yang dipetik kenyataannya menerusi laman web singaporesquashopen.com.
Seorang lagi wakil Malaysia, Rachel pula tunduk kepada pemain No. 7 dunia juga dari Mesir, Rowan Elaraby 14-12, 9-11, 5-11, 3-11 dalam masa 39 minit.
Sementara itu, Eain Yow yang turun lebih awal ke gelanggang, hari ini, mencipta kejutan besar apabila membenam cabaran jaguh No. 2 dunia, Paul Coll dari New Zealand 9-11, 9-11, 11-8, 11-5, 11-4 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam.
Pada suku akhir esok, pemain utama negara itu akan beraksi menentang pemain No. 11 dunia, Joel Makin setelah wakil England itu menewaskan pencabar dari Switzerland, Nicolas Mueller 11-2, 6-11, 11-9, 11-7 dalam masa 51 minit.
Jika Eain Yow berjaya mengekalkan rentak permainan yang konsisten, ia bakal menjadi petanda baik buat pemain yang menghuni ranking ke-24 dunia itu menjelang Terbuka Malaysia yang akan berlangsung, minggu depan.
Selepas Malaysia kehilangan beberapa bintang dunia seperti ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, Nafiizwan Adnan, Muhammad Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee yang bersara, cabaran Malaysia di pentas skuasy dunia agak suram.
Diharapkan kejayaan Eain Yow ini bukan bersifat sementara, tetapi, sebaliknya akan terus konsisten untuk kembali meletakkan Malaysia sebagai pencabar yang unggul di peta dunia. – UTUSAN ONLINE