DOHA: Bekas penyerang Argentina dan rakan sebilik Lionel Messi dalam Piala Dunia, Sergio Aguero menyelar pegawai bola sepak Argentina kerana tidak membenarkannya melawat pasukan itu.
Dia mendakwa, badan bola sepak Argentina, AFA tidak memberi kebenaran kepadanya untuk bercakap dengan bekas rakan sepasukannya.
Aguero mendarat di Qatar awal minggu ini dan mahu melawat pasukan kebangsaan Argentina di hotel penginapan mereka.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menghalangnya kerana tidak mempunyai kebenaran untuk masuk, dan AFA enggan membantu.
“Jika mereka tidak mahu saya pergi, beritahu saya secara terbuka. Saya sentiasa bersama Argentina sepenuhnya. Pasukan ini yang mewakili kita semua.
“Kami tahu mereka akan memberikan segala-galanya untuk jersi yang sangat kami cintai ini. Dan seperti yang dikatakan Leo (Lionel Messi), kita semua akan berjalan bersama,” katanya. – AGENSI