PETALING JAYA: Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zi Jia mahu meruntuhkan ego tembok besar China dalam usaha untuk merangkul kejuaraan keempat dalam kariernya.
Zii Jia berjaya mengalahkan juara dunia 2021, Loh Kean Yew daripada Singapura di peringkat separuh akhir Terbuka Denmark awal pagi tadi dengan keputusan 21-18, 21-15 untuk membuat perhitungan dengan pemain China, Shi Yuqi dalam perlawanan akhir pada petang ini.
Kemenangan itu juga menutup mulut para pengkritiknya selepas Zii Jia tersingkir awal ketika beraksi di Terbuka Jepun Ogos lalu.
“Ini merupakan pencapaian yang terbaik saya di kejohanan ini apabila mara ke final buat pertama kali, kerana dua kejohanan sebelum ini saya tidak beraksi dengan begitu baik, dan saya sedang mencari kembali keyakinan saya.
“Beraksi di perlawanan akhir, saya rasa semua pemain pun mahukan kemenangan, apa yang saya boleh janjikan adalah untuk berusaha memberikan yang terbaik di dalam gelanggang,” jelas Zii Jia.
Di kem China, Yuqi tidak boleh dipandang mudah walaupun baru sahaja kembali ke pentas antarabangsa apabila sebelum ini pemain berusia 26 tahun itu digantung selama 10 bulan oleh Persatuan Badminton China kerana bertegang urat dengan jurulatihnya.
Kali terakhir kedua-dua pemain ini bertemu adalah ketika suku akhir Malaysia Masters 2020 yang memihak kepada Zii Jia.
Seandainya Zii Jia dapat melakukannya, dia bakal menjadi pemain kelima negara yang menjuarai kejohanan itu dengan kali terakhir dirangkul legenda negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2012.