PETALING JAYA: Biarpun gagal menjuang kejuaraan badminton Terbuka Denmark, Ahad lalu, namun itu tidak menghalang jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia daripada mendaki satu anak tangga dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Biarpun kalah kepada pemain China, Shi Yuqi 18-21, 21-16, 12-21 dalam final di Denmark, namun kejayaan muncul naib juara pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 BWF itu memberikannya mata yang baik untuk mendaki ke tangga kedua dunia.
Juara Asia itu mengutip 9,350 mata dalam kejohanan itu, sekali gus berada meraih ranking terbaik dalam kariernya dengan mengumpul 92,528 mata keseluruhan, berada di belakang jaguh Demark, Viktor Axelsen (122,606 mata).
Seorang lagi pemain muda negara, Leong Jun Hao turut menikmati kenaikan dalam ranking dunia, berterima kasih atas kejayaan muncul juara Masters Indonesia, Ahad lalu yang memberi ‘semangat baharu’ kepadanya.
Jun Hao, 23, menerima kenaikan mendadak 28 anak tangga ke kedudukan ke-73 dunia.
“Saya rasa kejayaan ini dikecapi apabila saya terus mempercayai diri sendiri dan berjuang sehingga ke penamat. Apa pun ia hadir selepas sekian lama saya menunggu.
“Saya melalui tempoh naik dan turun dalam beberapa tahun ini selepas kembali sembuh daripada kecederaan. Akhirnya saya berjaya muncul juara.
“Saya harap semuanya akan berjalan dengan lebih baik selepas ini. Terima kasih kepada keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan serta penyokong saya,” kata Jun Hao.
Dalam beregu lelaki, juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tangga keempat, manakala dua lagi beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Eei Yi serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak mengalami perubahan di kedudukan kesembilan dan ke-10.
Beregu campuran No. 1 negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengalami kenaikan satu anak tangga ke kedudukan kesembilan dunia. – UTUSAN ONLINE