LONDON: Pentadbir Formula Satu (F1) kini berada di bawah tekanan hebat untuk menobatkan Lewis Hamilton sebagai juara dunia 2021 sekiranya pemandu Red Bull, Max Verstappen didapati bersalah melanggar peraturan had perbelanjaan.
Laporan muncul di Itali dan Jerman yang mendakwa Red Bull berbelanja melebihi had ditetapkan 114 juta pound (RM521 juta) tahun lalu.
Prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner menafikan dakwaan itu kelmarin, namun rakan sejawatannya di Mercedes, Toto Wolff menggesa badan automobil antarabangsa, FIA menguatkuasakan peraturan mereka dan bukannya berdiam diri.
Dengan kemenangan kontroversi yang diraih Verstappen pada perlumbaan terakhir di Abu Dhabi yang membolehkan pemandu Belanda itu mengatasi Hamilton dengan lapan mata, FIA sepatutnya lebih sensitif dengan apa yang berlaku.
Wolff berkata, had perbelanjaan mungkin evolusi peraturan paling penting memastikan semua pasukan mendapat kelebihan sama rata.
“Adalah sangat penting peraturan ini dikawal. FIA telah menunjukkan pendirian yang cukup teguh dalam menguatkuasakan semua jenis peraturan.
“Jadi jika kita bercakap sekarang tentang sesuatu yang besar, dia akan menunjukkan integriti dan kepimpinan yang sama seperti sebelum ini,” katanya menjelang Grand Prix Singapura ini hari ini.
FIA dijangka mengeluarkan keputusan siasatan mereka pada Rabu depan. – AGENSI