KOTA BHARU: The Red Warriors (TRW) melangkah ke suku akhir saingan Piala Malaysia menerusi agregat 2-1 selepas mengikat Sarawak United FC 1-1 pada perlawanan timbal balik kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, sebentar tadi.
Sarawak United yang turun dengan misi merapatkan defisit jaringan melancarkan serangan awal ke kubu tuan rumah sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan oleh pengadil perlawanan.
Kelantan FC bagaimanapun kekal tenang mengimbangi perlawanan serta merencanakan serangan ke atas kubu lawan dan berjaya menghasilkan beberapa peluang untuk menambah mata.
Tuan rumah lebih dahulu mengejutkan kem pelawat dengan jaringan Nurshamil Abd. Ghani pada minit ke-12 yang menghukum kealapaan barisan pertahanan Sarawak United.
Ketinggalan satu gol, Sarawak United berusaha mengurangkan defisit mata dan berhasil mendapatakan gol penyamaan pada minit ke-31 melalui jaringan Raja Imran Shah Raja Amin.
TRW tidak berdiam diri dan terus berusaha memcari gol tambahan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dan kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua Sarawak United terus berusaha memberi tekanan kepada tuan rumah dan cuba mencari gol tambahan bagi menghidupkan kembali peluang mereka ke peringkat seterusnya.
Memasuki minit ke-80 Sarawak United semakin garang memggempur kubu Kelantan FC sementara kem tuan rumah mengekalkan disiplin bertahan sambil sesekali melancarkan serangan balas.
Pelawat terus melipat gandakan usaha untuk mencari gol tambahan namun nasib lebih memihak TRW kental mempertahankan keputusan tersebut sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu nyata menggembirakan 4,369 penyokong setia TRW yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.