KUALA LUMPUR: Selepas kalah tiga pertarungan terakhir, Agilan Thani memberi hadiah istimewa buat isterinya yang sedang hamil apabila menumpaskan petarung Jerman, Ilja Stojanov dalam saingan welterweight seni tempur campuran (MMA), One Championship di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Terkenal dengan julukan ‘The Alligator’, petarung yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga menyifatkan kemenangan tersebut istimewa kerana menjadi hadiah sempena sambutan Deepavali esok.
Agilan, 27, yang menjadi tumpuan peminat tempatan biarpun aksi menentang Stojanov hanyalah pertarungan ‘sampingan khas’ dalam One Championship menang menerusi keputusan sebulat suara tiga pengadil selepas dua pusingan.
“Pertarungan ini tidak senang. Dia bagus, saya banyak kali angkat bawa dia ke atas, dia turunkan… saya angkat dia banyak kali, penat,” katanya.
Agilan tampil garang melancarkan serangan dengan menjatuhkan lawan, terutama pada minit akhir pertarungan, di mana dia membuat tumbukan bertubi-tubi, sehingga Stojanov tidak mampu melawan.
“Saya dedikasikan kemenangan untuk isteri kerana dia kuat mengharungi kehamilan_nya, malah dia mengizinkan dan menyokong saya bertanding ke luar negara sepanjang tempoh itu,” katanya, yang mahu bertemu Tae Ho Jin, petinju Korea Selatan yang menewaskannya, April lalu.
Dua petarung negara, iaitu Amir Naseri dan Keanu Subba, tewas kepada lawan masing-masing dalam saingan flyweight muay thai serta featherweight MMA.
Sementara itu dalam saingan utama, acara tumpuan bantamweight berakhir dengan tiada pemenang ekoran John Lineker dari Brazil cedera parah di bahagian kemaluannya dalam pertarungan dengan rakan senegaranya, Fabricio Andrade.
Bagi acara Saingan lightweight muay thai pula, Regian Eersel dari Belanda dinobat sebagai pemenang selepas menewaskan Sinsamut Klinmee dari Thailand.