JOHOR BAHRU: Malaysia terus dirundung malang apabila merekodkan kekalahan keempat dalam kejohanan hoki bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) selepas tumpas 2-4 kepada Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.
Great Britain tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila menghasilkan gol seawal minit kedua menerusi gol padang Tom Moorhouse.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan bimbingan Muhammad Amin Rahim cuba bangkit mengatur gerakan, namun tidak berjaya menggugat benteng pertahanan lawan bagi memperoleh gol penyamaan.
Pada suku kedua, ketika permainan berusia dua minit, juara tiga kali itu menambah jaringan menerusi gol padang Fred Newbold pada minit ke-17.
Memasuki suku ketiga, pasukan kendalian Jon Bleby terus mempamerkan penguasaan dengan meledak dua gol hasil jaringan Jamie Golden menerusi gol padang pada minit ke-34 dan pada minit ke-43 menerusi Harrison Stone.
Skuad Young Tigers akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan apabila memperoleh gol menerusi jaringan padang oleh Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar pada minit ke-50.
Tiga minit berselang, skuad remaja negara menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Shahmie Irfan Suhaimi bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan.
Bagaimanapun, hasrat pasukan tuan rumah yang menguasai permainan pada suku keempat untuk mempamerkan kebangkitan sedikit terlewat dan tiada pertambahan gol direkodkan.
Empat kekalahan berturut-turut menyaksikan Young Tigers hanya akan bertanding pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.
Terdahulu, juara dua kali, Australia berkongsi mata dengan pasukan India setelah pertemuan antara kedua-dua pasukan berakhir 5-5 sama.
Keputusan itu menyaksikan Australia berjaya menempah tiket ke aksi final dan menunggu keputusan perlawanan hari terakhir bagi mengetahui siapa lawan mereka. – UTUSAN ONLINE