PETALING JAYA: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek akur dengan prestasi merudum skuad kendaliannya di Kejohanan Remaja Dunia yang berlangsung di Santander, Sepanyol.
Malaysia gagal melepasi peringkat suku akhir acara berpasukan campuran dan sekadar menduduki tangga kesembilan keseluruhan, manakala cabaran negara di saingan individu juga turut berakhir awal, termasuk sandaran prospek pingat emas negara dalam acara perseorangan lelaki, Justin Hoh.
Justeru Misbun bakal melakukan beberapa tindakan drastik untuk mengembalikan prestasi pemain muda negara.
“Sebenarnya saya sudah mengenalpasti kelemahan kempen kali ini iaitu tahap pemain lawan seperti China, Taiwan, Thailand dan Eropah yang kita tidak tahu tahapnya di mana, tetapi menerusi pengamatan saya dalam acara berpasukan dan individu, kebanyakkan pemain tonggak negara lawan tahapnya tinggi sedikit daripada pemain kita, kekurangan kita hanyalah dari tahap fizikal, kemudian untuk stamina dan teknikal adalah lebih kurang.
“Langkah seterusnya untuk memperkukuhkan lagi skuad remaja ini saya melihatnya kepada beberapa faktor, yang pertama saya akan membuat sedikit rombakan daripada kejurulatihan yang ada sekarang, mungkin saya akan rombak dan menambah bilangan jurulatih supaya dapat memantapkan lagi struktur kejurulatihan, dan dengan adanya pertambahan jurulatih, mungkin akan membantu melakukan lebih banyak perkara.
“Saya juga merancang untuk menghantar mereka pemain pemain muda beraksi di kejohanan lebih tinggi seperti bertaraf Cabaran Antarabangsa, Siri Antarabangsa, Super 100 dan kalau boleh Super 300 dan sebagainya yang merupakan sebagai daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang saya lakukan untuk masa akan datang.
“Ini untuk membiasakan mereka bermain di dalam pertandingan yang besar, jadi untuk mereka bermain di pertandingan bawah umur 19 tahun, mereka sudah biasa,” jelas Misbun.
Misbun kini dibantu lima orang jurulatih dalam skuad bawah 18 tahun negara dibarisi Hazwan Jamaludin, Poh Chai Boon (Perseorangan), Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan dan Lufti Zaim (Beregu).
Selain itu, penggendali berusia 62 tahun itu turut bercadang untuk menambah tempoh latihan pemain kepada empat hingga lima jam sehari di gelanggang tidak termasuk latihan fizikal di gimnasium dan larian untuk meningkatkan stamina.-UTUSAN