Skuad hoki negara benam Perancis 4-2

Skuad hoki negara benam Perancis 4-2

Pasukan hoki negara berjaya melakar kemenangan dalam perlawanan terakhir mereka dalam siri Jelajah Eropah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki negara menamatkan kempen jelajah Eropah dengan melakar kemenangan ke atas pasukan di tangga ke 11 dunia, Perancis dengan keputusan 4-2 dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Kelab Hoki Waterloo Ducks ASBL, Belgium sebentar tadi.

Razie Abdul Rahim meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti, begitu juga Aminuddin Mohd Zain dan Ramadan Rosli turut memahat nama sebagai penjaring untuk pasukan negara.

Kemenangan ini membalas kembali kekalahan tipis skuad negara semalam kepada Perancis dengan keputusan 2-3.

Secara keseluruhan Malaysia melakar dua kemenangan dan dua kekalahan dalam empat perlawanan menentang pasukan Belgium dan Perancis untuk jelajah kali ini.

Bagi penggendali negara, Arul Selvaraj, dia berpuas hati apabila pasukannya berjaya mencapai objektif, dan mengakhiri jelajah ini dengan kemenangan besar.

“Apa yang kita nak capai dalam jelajah kali ini, bermain dengan pasukan nombor dua dunia, Belgium, kita menang dengan pasukan A mereka, kemudian tumpas dengan skuad sebenar mereka, banyak yang dipelajari dari segi intensiti dan tempo tinggi berdepan pasukan itu.

“Manakala menentang pasukan Perancis, kami dapat apa yang kami mahukan dalam perlawanan terakhir, walaupun kami terpaksa mengharungi perjalanan selama dua jam, sempat memanaskan badan dan terus beraksi, ia bukanlah alasan dan hari ini kami tampilkan aksi bertenaga walaupun ketinggalan di permulaan perlawanan.

“Jadi ia penamat yang baik untuk jelajah kali ini, kita nak ambil kemenangan ini dan mempertingkatkan lagi aspek pertahanan kami dan cuba mengelak daripada berikan pukulan sudut penalti kepada lawan, supaya pemain akan lebih tenang dan dapat membuat keputusan dengan lebih bagus,” jelas Arul sejurus selepas perlawanan tamat.

Skuad negara dijangka akan kembali semula ke tanah air pada Sabtu ini, dan bakal bersiap menghadapi Piala Sultan Azlan Shah yang akan bermula 1 November depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya