PETALING JAYA: Kejayaan Lee Zii Jia menaiki tangga kedua dalam ranking dunia semalam tercalar apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito seawal pusingan pertama badminton Terbuka Perancis, hari ini.
Masih segar dengan kejayaan bergelar naib juara Terbuka Denmark minggu lalu, jaguh perseorangan negara itu bergelut sepanjang 44 minit perlawanan dan terpaksa akur dengan kekalahan 19-21, 18-21.
Keputusan tersebut mengulangi skrip sama ketika Zii Jia tumbang kepada Shesar pada pusingan kedua Terbuka Malaysia, Jun lalu.
Ia situasi yang mendukacitakan buat pemain kelahiran Kedah itu apabila turut kehilangan datuk tercinta dua hari lalu.
Zii Jia masih mempunyai satu lagi kejohanan minggu hadapan, iaitu Terbuka Hylo di Jerman dalam usaha untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Saingan Akhir Jelajah Dunia di Guangzhou, China pada Disember. – UTUSAN ONLINE