MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Erik ten Hag tidak menghalang Cristiano Ronaldo meninggalkan Old Trafford pada Januari depan.
Dakwaan itu timbul selepas usaha Ronaldo, 37, mahu meninggalkan kelab pada jendela perpindahan musim panas lalu gagal, meskipun ejennya, Jorge Mendes berusaha keras mencarikan pasukan baharu.
Ronaldo yang banyak memanaskan bangku simpanan musim ini hanya dua kali diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.
Salah satu daripada perlawanan itu menyaksikan United dimalukan 4-0 oleh Brentford pada 13 Ogos lalu.
Biarpun Ten Hag sebelum ini berminat untuk mengekalkan kapten Portugal itu, namun dia sedia melepaskannya pada Januari akan datang.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/Ten-Hag-2-e1660048023582-600x330.jpg)
Keputusan untuk tidak langsung menurunkan pemenang Ballon d’Or lima kali itu ketika United kalah 6-3 kepada Manchester City, Ahad lalu memberi petanda jelas Ten Hag sudah berputus asa dengan Ronaldo.
Ronaldo masih cuba untuk kekal profesional kerana mahu menjamin tempatnya dalam skuad Portugal pada Piala Dunia 2022 di Qatar.
Piala Dunia dianggap pentas terbaik buatnya memikat kelab Liga Juara-Juara untuk menandatanganinya apabila jendela dibuka semula.
Jika ada tawaran sesuai tiba, Ronaldo hampir pasti mengucapkan selamat tinggal kepada No.7 selepas kurang daripada 18 bulan kembali semula di Manchester.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/MU-1-28-600x397.jpg)
“Saya rasa dia sepatutnya dilepaskan sebelum jendela perpindahan.
“Pengurus tidak mempedulikan Ronaldo sedangkan dia antara pemain terbaik yang dimiliki kelab ketika ini.
“Baiklah, hari ini dia (Ten Hag) membawa masuk Anthony Martial dan pemain tersebut berjaya menjaringkan dua gol. Itu memang perkara yang wajar tetapi yang jelas dia tidak membenarkan Ronaldo bermain.
“Kita tahu akan perkara ini, Ronaldo hanya bermain dalam satu atau dua permainan sahaja. Jadi lebih baik lepaskan dia sekarang,” kata legenda United, Roy Keane. – AGENSI