PETALING JAYA: Pada ketika Malaysia bakal mengharungi jadual padat dengan Sukan Asia dan Sukan SEA menanti tahun depan, manakala persiapan Olimpik Paris 2024 memasuki peringkat kritikal, peruntukan RM332 juta buat sukan tanah air dalam Bajet 2023 amat melegakan.
Jumlah itu juga meningkat RM88 juta berbanding RM244 juta yang diperuntukan kepada arena sukan pada Bajet 2022.
Ia diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam.
Sebanyak RM154 juta diperuntukan untuk pembangunan ekosistem sukan negara yang menyeluruh, mencakupi pencarian bakat, perangkaan program latihan serta kelengkapan fasiliti.
Apatah lagi barisan atlet Malaysia bakal harungi jadual yang padat antaranya Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou di China, selain tumpuan kepada kelayakan Sukan Olimpik Paris.
Sebanyak RM145 juta pula diperuntukan untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan negara.
Barisan atlet para negara juga tidak dikecualikan apabila RM12 juta diperuntukan untuk memperkasakan lagi program pembangunan bagi mencari permata baharu negara.
Bagi komuniti permotoran, RM20 juta yang diberikan jauh lebih banyak daripada tahun sebelumnya dengan peruntukan kali ini menumpukan kepada pembangunan litar drag.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL), Shahrol Yuzy Ahmad Zaini lega sukan permotoran kembali mendapat perhatian, sambil menyarankan agar litar yang dibina mesra rakyat bagi membolehkan semua lapisan masyarakat turut dapat menikmatinya.
“Syukur Alhamdulillah, bila kita dengar bajet hari ini, spesifik untuk sukan permotoran itu disebut RM20 juta, jadi memang kita berasa bangga apabila dipandang oleh kerajaan.
“Untuk litar yang bakal dibina, saya sarankan supaya diberi kemasukan harga murah buat pengunjung yang hadir, supaya ia dapat dijadikan tempat riadah untuk keluarga, dan tidak bersifat eksklusif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Tengku Zafrul turut mengucapkan tahniah kepada beregu badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul juara dunia tahun ini.