PETALING JAYA: Kempen Piala Malaysia yang memperkenalkan format baharu musim ini dianggap relevan berdasarkan beberapa faktor tetapi daripada sudut kemeriahan mungkin berkurangan.
Kejohanan tertua di Asia itu menyaksikan tiada aksi peringkat kumpulan di mana semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan secara timbal balik.
Menurut pengendali Negeri Sembilan K. Devan, perubahan itu sedikit sebanyak menjejaskan kemeriahan pertandingan namun disebabkan beberapa faktor ia terpaksa dilaksanakan.

“Mungkin kemeriahan sedikit berkurang kerana kekurangan perlawanan dan pertandingan berlangsung pada akhir musim kebanyakan pasukan yang tidak lakukan dengan baik di liga mahu ambil peluang ini buat terbaik di Piala Malaysia.
“Apa pun disebabkan faktor cuaca dan beberapa faktor lain saya menyokong keputusan yang dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya pula percaya, cabaran akan lebih sengit dan setiap perlawanan menyaksikan semua pasukan bermati-matian.
Keputusan dibuat berdasarkan faktor cuaca, laluan kepada persiapan pasukan negara dan tentu sekali telah difikirkan sedalam-dalamnya. Bagi saya ia keputusan munasabah.

“Benar saingan akan lebih sukar berbanding bermain peringkat kumpulan di mana jika kalah masih ada perlawanan lain tetapi kali ini satu menang sudah ke suku akhir, tiga menang ke final,” jelasnya.
Bagi ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, beliau menerima perubahan ini dengan positif selepas melalui musim yang agak padat terutama bersaing di pentas Liga Juara-Juara Asia.
“Kami telah melalui banyak perlawanan tertunda ekoran sebelum ini perlu bersaing di peringkat kumpulan Liga Juara-juara.
“Jadi pengurangan jumlah perlawanan kepada empat sememangnya melegakan tetapi semua perlawanan itu kami jangkakan tetap sukar dan sengit,” katanya.