PETALING JAYA: Pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menggesa pemain negara tidak mensia-siakan peluang dalam tiga kejohanan di Eropah untuk merebut tempat ke Jelajah Dunia Akhir di Guangzhou, 14-18 Disember ini.
Hanya lapan pemain dan beregu terbaik layak beraksi dalam kejohanan itu, dengan sebuah negara terhad kepada dua wakil sahaja.
Ketika ini, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berada di tangga keenam ranking Jelajah Dunia, satu tangga di bawah rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Biarpun beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di kedudukan kesembilan, namun mereka sudah pun mengesahkan tempat ke kejohanan tersebut selaku juara dunia.
“Aaron-Wooi Yik sudah automatik layak kerana juara dunia, jadi kalau mereka tidak beraksi di mana-mana kejohanan pun mereka tetap layak ke Jelajah Dunia Akhir.
“Jadi persaingan kini Sze Fei-Izzuddin perlu bersaing dengan Ee Yi-Yew Sin, cuma ketika ini saya banyak tekankan kepada psikologi mereka dan cara mereka berfikir.
“Kalau dalam latihan mereka menunjukkan prestasi yang terbaik, cuma selepas memenangi Terbuka Jerman pada Mac, terutama Sze Fei ada sedikit kurang dalam keyakinan diri dan kami sedang berusaha membaiki perkara ini,” kata Rexy yang masih menaruh kepercayaan terhadap Sze Fei-Izzuddin untuk layak buat kali pertama.
Mereka akan memulakan aksi siri Eropah dengan menyertai Terbuka Denmark (18-23 Oktober), kemudian ke Terbuka Perancis ( 25 hingga 30 Oktober) , disusuli Terbuka Hylo di Jerman dari 1 hingga 6 November.