IPOH: Perak FC akan memuktamadkan skuad Liga Super bagi musim 2023 dalam satu mesyuarat pada Jumaat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Bobie Farid Shamsuddin berkata, mesyuarat itu akan membincangkan mengenai pemain yang terpilih menyarung jersi Bos Gaurus musim depan.
“Bagaimanapun nama mereka tidak akan diimumkan sehingga kontrak pemain musim ini tamat pada hujung bulan ini. Kebanyakan pemain tamat kontrak pada hujung November,” katanya.
Setakat ini hanya dua pemain yang sah milik Perak iaitu Harith Naem dan Ilham Aqil.
Nama Harith dari Melaka United dan Ilham, yang sebelum ini menyarung jersi UiTM FC tular dalam Facebook Perak FC.
Berdasarkan portal rasmi Perak FC itu, kedua-dua pemain sudah bebas dari pasukan lama masing-masing dan sudah mengikat kontrak dengan pasukan Bos Gaurus.
CEO Perak FC itu membayangkan pasukan itu akan mendapatkan khidmat dua lagi pemain import bagi memperkukuhkan pasukan.
“Setakat ini kami sudah ada seorang iaitu Sunday Afolabi dan sedang menguji Luciano Guaycochea, ” katanya. – UTUSAN ONLINE