PENCALONAN Datuk Hamidin Mohd. Amin untuk kerusi ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 disambut bercampur baur oleh masyarakat bola sepak tempatan.
Ada yang berpendapat selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hamidin sepatutnya menyelesaikan pelbagai kemelut yang melingkari bola sepak negara sebelum memasang angan-angan ke badan induk dunia.
Namun ada juga yang menyifatkan pencalonan beliau sebagai satu penghormatan besar buat Malaysia.
Menyingkap semula tabir sejarah, kelompok tokoh yang menyumbang secara terus terhadap tadbir urus FIFA cukup kecil sepanjang 96 tahun kewujudan FAM.
Tokoh pertama mengisi kerusi ahli jawatankuasa FIFA ialah bekas pemain Negeri Sembilan, mendiang Lim Kee Siong dari 1962 hingga 1968 ketika FIFA diterajui oleh Stanley Rous.
Pengarah syarikat Lim Omnibus itu memegang jawatan Naib Presiden kanan FAM (sebelum jawatan timbalan presiden diwujudkan) dan juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (NSFA) yang pertama dalam kalangan rakyat tempatan apabila terpilih pada 1950.
Tradisi wakil Malaysia dalam kumpulan pembuat dasar secara eksekutif dalam FIFA ialah Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah, yang dipilih menjadi Naib Presiden badan induk dunia atas dasar kedudukannya selaku Presiden AFC.
Pada pemilihan 2015, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memenangi kerusi Majlis FIFA yang dianggotai oleh 37 individu dari seluruh dunia, sebelum meletak jawatan selepas ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2019.
Sebagai presiden FAM pertama dari golongan rakyat biasa, Hamidin tidak tandus pengalaman. Himpunan pengalaman sejak dilantik menjadi Setiausaha Eksekutif
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1 Ogos 1995 menjadikan beliau bukan sahaja pemimpin paling berpengalaman dalam arena tempatan, bahkan di rantau Asia Tenggara.
Dengan perwatakan yang mudah mesra, Hamidin intim dengan pucuk pimpinan FIFA, khususnya Presiden Gianni Infantino yang merasmikan pelancaran peta hala tuju FAM, F:30 pada Oktober 2018. Hamidin juga rapat dengan pemimpin seluruh Asia atas kapasiti selaku ahli jawatankuasa eksekutif AFC.
Jawatan di peringkat FIFA bukan diukur menerusi prestasi sesebuah negara, sebaliknya mengikut senario politik yang menuntut agihan kerusi mengikut zon.
Majlis FIFA asalnya Jawatankuasa Eksekutif yang dianggotai 24 wakil sebelum dipinda pada 2016. Wakil dari Thailand, Worawi Makudi, adalah wakil Asia Tenggara dari 1997 hingga 2015.
Di peringkat Asean, Malaysia sememangnya peneraju dari segi tadbir urus, dengan AFC dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) berpangkalan di Kuala Lumpur.
Sama ada bola sepak negara dibelenggu masalah gaji tertunggak, prestasi turun naik skuad kebangsaan, skandal rasuah mahupun isu tadbir urus, ia tidak menafikan hakikat Almarhum Sultan Ahmad Shah, mendiang Datuk Peter Velappan, mendiang Datuk Seri Paul Mony Samuel, membawa aura kepimpinan tersendiri di mata dunia.
Faedah buat FAM dan Malaysia adalah pelbagai andai Hamidin terpilih pada pemilihan peringkat AFC di Manama, Februari depan. Peluang meluaskan rangkaian jaringan dan tambahan dana bagi melaksanakan aktiviti pembangunan dan bola sepak wanita akan menguntungkan bola sepak negara dari segi jangka masa panjang. Begitu sifirnya.
*Penulis adalah juri anugerah berprestij, Ballon d’Or