PETALING JAYA: Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah untuk layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir, Disember depan semakin tipis selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terpaksa membatalkan dua lagi kejohanan.
Terbaru, Terbuka China yang dijadualkan berlangsung pada 29 November hingga 4 Disember serta Terbuka Fuzhou (6-11 Disember) dibatalkan kerana isu membabitkan larangan perjalanan dan kuarantin gara-gara wabak Covid-19 di negara tersebut.
Ironinya, Jelajah Dunia Akhir masih kekal diadakan di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember biarpun status venue sebelum ini belum dapat dipastikan.
Justeru dengan hanya berbaki tiga kejohanan di Eropah dan satu di Australia dalam tempoh dua bulan ini, sukar buat Pearly-Thinaah yang kini berada pada kedudukan ke-11 kelayakan untuk menempahtan diri dalam kalangan lapan beregu terbaik.
Keadaan Pearly yang masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan hamstring menyukarkan lagi peluang juara beregu wanita Sukan Komanwel itu.
Hanya lapan pemain terbaik bagi setiap acara sahaja akan dijemput beraksi di Jelajah Dunia Akhir.
“Walaupun terpaksa untuk tidak menyertai beberapa kejohanan, kami terpaksa melakukannya asalkan dapat kembali berada di tahap 100 peratus, seeloknya fokus kepada pemulihan terlebih dahulu dan kita akan berikan yang terbaik apabila sudah bersedia sepenuhnya,” kata Thinaah.
Pearly djangka melalui satu lagi ujian di Institut Sukan Negara (ISN) minggu hadapan bagi mengetahui statusnya keadaan kakinya.
Sekiranya mendapat lampu hijau mereka berpeluang untuk menyelamatkan kedudukan ranking ke saingan tersebut dengan menyertai Terbuka Denmark pada 18 hingga 23 Oktober disusuli Terbuka Perancis pada 25 hingga 30 Oktober.
“Ketika ini saya masih mencari keyakinan dan cuba bergerak di dalam gelanggang, dan mungkin minggu depan saya akan cuba berlatih bersama semula dengan Thinaah,” jelas Pearly.