RAUB: Pelumba Colombia, Juan Sebastian Molano menakluk perlumbaan paling ‘panjang’ dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dengan menjuarai peringkat kedua dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan ke Raub, Pahang meliputi jarak sejauh 178.9 kilometer (km), hari ini.
Beraksi untuk pasukan Jelajah Dunia, UAE Team Emirates, pelumba berusia 27 tahun itu melengkapkan kayuhan selama 4 jam untuk menjadi peserta pertama melintasi garisan penamat di Dataran Raub.
Ini adalah kemenangan ke-20 dalam karier Molano, yang pernah muncul juara peringkat dalam perlumbaan bertaraf Grand Tours, Vuelta a Espana, bulan lalu.
“Saya benar-benar gembira dengan kemenangan ini, dan kejayaan adalah untuk pasukan saya.
“Beberapa kilometer akhir saya tidak menghadapi masalah kerana laluan agak lurus jadi saya terus memecut laju ke hadapan sehingga garisan penamat,” jelas Molano yang kehilangan khidmat rakan sepasukan, Rui Costa yang mengalami keracunan makanan semalam.
Jersi kuning, pendahulu keseluruhan kekal milik Syritsa Gleb dari pasukan Astana Qazaqstan yang turut sama masih memegang jersi hijau, Raja Pecut.
Tempat kedua milik pelumba ARA Pro Racing Sunshine, Craig Wiggins. – UTUSAN ONLINE