GENTING HIGHLANDS: Pengarah Sukan pasukan UAE Emirates, Fabrizio Guidi menjelaskan, pelumbanya, Juan Sebastian Molano dihimpit rapat menuju ke penamat perlumbaan dan dia tidak berniat untuk bertindak agresif sehingga menyebabkan kemenangannya pada peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Kuala Klawang ke Raub dibatalkan.
Semalam, kemenangan pelumba Colombia itu dilucutkan hanya enam jam selepas perlumbaan tamat selepas dikatakan menolak pelumba lain ketika pecutan penamat beramai-ramai.
Kemenangan akhirnya diberikan kepada Craig Wiggins dari pasukan Ara Pro Racing Sunshine, manakala Molano tergelincir ke kedudukan 109.
Kata Guidi, pasukan UAE Emirates tidak akan membuat rayuan kepada penganjur untuk menilai semula keputusan itu, sebaliknya akan mencuba memenangi baki lima perlumbaan.
“Dia disekat dua tiga kali ketika pecutan beramai-ramai ke garisan penamat.
“Ketika kumpulan peloton itu membuat asakan kiri dan kanan, terdapat seorang pelumba menghampiri Molano dengan begitu rapat, jadi dia tidak mempunyai pilihan dan cuba mempertahankan kedudukannya, bagi saya ia bukanlah satu tindakan agresif.
“Dia perlu berkelakuan lebih bagi dan sebagai pelumba, perlu menerima keputusan itu dengan hati terbuka, kami tidak boleh memandang kembali lagi,” jelas Guidi.
Bagi Wiggins dari Australia ini jelas tidak menyangka akan meraih gelaran pertamanya di LTdl dalam situasi sebegini.
Ini merupakan penampilan ketiganya di LTdL dengan percubaan terbaik Wiggins adalah meraih kedudukan ketiga ketika peringkat ketujuh edisi 2019 di Pulau Langkawi bersama pasukan St George Continental Cycling.
“Apabila saya melintasi garisan penamat dan meraih kedudukan kedua, pastinya kami mahukan kemenangan, tetapi bukan dengan cara sebegini.
“Tetapi kami masih bersyukur dan gembira dengan kejuaraan ini dan akan mencuba mendapatkan lagi banyak gelaran untuk baki perlumbaan,” jelas Wiggins. – UTUSAN ONLINE