PETALING JAYA: Malaysia kembali menghidupkan peluang memburu slot automatik ke pentas Piala Asia bawah 17 tahun (B-17) 2023 selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 di Bogor, Indonesia sebentar tadi.
Kemenangan itu melonjakkan skuad bimbingan Osmera Omaro di tangga teratas Kumpulan B dengan tujuh mata diraih hasil dua kemenangan dan satu seri.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut akan berubah sekiranya Indonesia yang cemerlang dengan dua kemenangan sebelum ini dapat menundukkan Palestin malam ini.
Turun dengan misi ‘hidup mati’, skuad Malaysia B-16 memperolehi gol pembukaan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Muhammad Arami Wafiy Mohamad Zakimi.
Muhammad Anjasmirza Saharudin menggandakan kelebihan pada minit ke-51 tetapi UAE bangkit dengan dua jaringan yang dihasilkan Saeed Amer Mohammad (minit ke-76) dan Abdulaziz Mohamed Almarzooqi menyamakan kedudukan ketika permainan memasuki minit ke-84.
Ketika perlawanan bakal ditamatkan dengan keputusan seri, Muhamad Faris Danish Asrul muncul wira Malaysia apabila jaringannya pada minit ke-93 memastikan kemenangan yang cukup berharga buat skuad negara.
Skuad B-16 negara perlu menang pada aksi terakhir menentang Indonesia Ahad ini untuk melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir pada Mei tahun hadapan.
10 pasukan yang menamatkan saingan selaku juara kumpulan akan bersama lima naib juara kumpulan terbaik akan layak untuk beraksi di peringkat akhir Piala Asia B-17 2023. – UTUSAN ONLINE