LONDON: Bekas tonggak Arsenal dan England, Paul Merson percaya, Jurgen Klopp perlu menurunkan Darwin Nunez dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Brighton hari ini bagi meningkatkan keyakinan penyerang Uruguay itu.
Kata Merson, Klopp perlu membuktikan harga 85 juta pound (RM437.56 juta) yang dibayar kepada Benfica untuk pemain tersebut adalah berbaloi.
“Pemain Liverpool tidak banyak beraksi dalam rehat antarabangsa. Fabinho hanya bermain 70 minit untuk Brazil tetapi dia melakukan perjalanan yang jauh.
“Thiago (Alcantara) tidak dipilih oleh Sepanyol dalam Liga Negara-Negara, jadi dia boleh tampil lebih segar.
“Klopp juga akan kekal dengan (Mohamed) Salah dan Luis Diaz di barisan hadapan tetapi saya fikir dia perlu menurunkan Darwin Nunez. Mereka membayar harga yang besar untuknya dan perlu menyokongnya.

“Biarpun Liverpool mempamer prestasi tidak menentu, saya tetap pilih mereka untuk memenangi perlawanan ini,” kata Merson.
Daripada sembilan aksi Reds musim ini, Nunez hanya dua kali mengisi kesebelasan utama.
Pemain berusia 23 tahun itu juga dikecam kerana tindakan terburu-buru yang menyebabkan dia dibuang padang ketika seri 1-1 dengan Crystal Palace, 16 Ogos lalu.
Hanya menang dua daripada enam perlawanan musim ini menyebabkan Liverpool menduduki tangga kelapan liga.
Sementara itu, kapten Reds, Jordan Henderson menyeru rakan sepasukan meneruskan prestasi baik ketika menumpaskan juara Belanda, Ajax 2-1 dalam perlawanan terakhir mereka pada Liga Juara-Juara, 14 September lalu. – AGENSI