LANGKAWI: Laluan peringkat ketujuh perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang sepatutnya berakhir di puncak Gunung Raya pada hari ini terpaksa diubah ekoran tanah runtuh disebabkan cuaca buruk semalam.
Presiden Komisar perlumbaan, Wayne Pomario menjelaskan perlumbaan hari ini akan menggunakan laluan bagi peringkat kelapan, manakala status laluan untuk peringkat lapan esok masih belum dapat dipastikan.
Peringkat ketujuh perlumbaan sepatutnya bermula dari Pekan Kuah menuju ke Gunung Raya, dengan jarak sejauh 90.8 kilometer menawarkan tiga zon pecutan dan dua zon dakian bakal menjadi penentu pemenang untuk kesemua jersi utama.
“Susulan mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan disertai Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah Langkawi dan Jawatankuasa Keselamatan Trafik Daerah Langkawi, memutuskan penamat Peringkat 7 di puncak Gunung Raya dibatalkan susulan demi keselamatan pelumba, pasukan, kumpulan yang menyertai perlumbaan dan juga orang ramai.
“Pembatalan ini dibuat kerana tanah runtuh yang berlaku di empat lokasi di Gunung Raya. Dengan itu, Presiden Komisar perlumbaan bersetuju yang laluan Peringkat 8 akan digunakan untuk perlumbaan Peringkat 7 esok,” jelas penganjur dalam satu kenyataan.
Justeru perlumbaan pada hari ini adalah mengelilingi kawasan sekitar Pekan Kuah dengan jarak sejauh 115.9 kilometer dan menawarkan tiga zon pecutan dan dakian dan dijangka bermula pada pukul 2 petang.
Semalam beberapa kawasan di sekitar Pulau Langkawi dilanda banjir antaranya Kampung Teluk Yu, Kampung Kilim dan Kampung Telaga Ayer Hangat di Ayer Hangat; Kampung Belanga Pecah di Kuah; Bukit Kemboja dan Sungai Melaka di Padang Matsirat dan Empangan Padang Saga di Ulu Melaka.
Selain itu, beberapa kawasan turut mengalami tanah runtuh seperti di Ulu Melaka dan Jalan Gunung Raya manakala pokok tumbang berlaku di Ulu Melaka, Ayer Hangat, Kuah dan Bohor.