PETALING JAYA: Kejayaan Kuala Lumpur City (KL City) layak ke final Piala AFC 2022 ibarat sebuah mimpi, dan mereka mahukan kejuaraan sebagai penamat terindah.
Berbekalkan bajet kecil, selain tidak diberi harapan tinggi, pengendali The City Boys, Bojan Hodak berkata, pasukannya membuktikan semangat juang hebat serta taktikal tepat mampu mengatasi segala kesukaran.
KL City memahat sejarah melangkah ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan Sogdiana Jizzakh menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 di depan ribuan penyokong lawan di Uzbekistan selepas permainan sebenar berakhir 0-0.

“Kami kelab kecil dengan bajet yang kecil.
“Ia umpama mimpi dan kejayaan buat bola sepak Malaysia juga. Kami mahu meneruskan mimpi indah ini dengan menjulang trofi ,” kata Hodak.
Menurut Hodak, berdepan kelab Uzbekistan yang memiliki ranking lebih baik berbanding Malaysia, beliau sudah menjangkakan permainan agresif serta menyerang bakal dilancarkan tuan rumah.
Katanya, biarpun beraksi di bawah cuaca sejuk di Jizzakh, namun KL City amat fokus sepanjang 120 minit permainan untuk menggagalkan serangan bertali-arus lawan.

Penjaga gol Filipina, Kevin Mendoza akhirnya muncul wira menyelamatkan sepakan penalti Shakhboz Jurabekov untuk membawa pasukannya selangkah menjulang kejuaraan.
“Saya sudah katakan sebelum perlawanan, standard bola sepak Uzbekistan lebih tinggi berbanding Malaysia. Kami sudah menjangkakan mereka akan menyerang, menguasai permainan di tempat sendiri tetapi kami berjaya menggagalkan semua percubaan sebelum melancarkan
serangan balas dan akhirnya menang menerusi penentuan penalti,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan The City Boys kini selangkah untuk menyamai rekod Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi Piala AFC pada 2015.
Anak-anak buah Hodak kini akan menyambut kehadiran kelab Oman, Al-Seeb dalam perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Oktober ini.