LONDON: Kereta Ferrari yang dipandu Michael Schumacher pada musim 2003 adalah jentera Formula Satu (F1) terbaharu milik legenda itu yang akan dilelong.
Tiga kereta Ferrari yang pernah dipandu Schumacher sebelum ini antara empat kereta F1 paling mahal pernah dilelong dengan harga antara 5.2 juta pound (RM27.5 juta) sehingga 6.2 juta pound (RM32.8 juta).
Lelongan terbaharu yang akan diuruskan Sotheby, masih belum mempunyai tanda harga.
Begitupun, sudah pasti jentera itu akan menjadi salah satu kereta F1 paling mahal bakal dijual melalui proses lelongan.
Kereta model F2003-GA dicipta sempena penghormatan kepada mendiang bos Fiat, Gianni Agnelli.
Jentera yang dipandu Schumacher itu turut membantunya memenangi lima perlumbaan ketika dia memburu kejuaraan dunia pada 2003.
Dalam masa sama, kereta berkenaan membantu Schumacher merangkul kejuaraan dunia F1 keenamnya.
Schumacher kini tinggal bersama keluarganya di Switzerland, lokasi di mana F2003-GA akan dilelong.
Bagaimanapun, keadaan terbaharu Schumacher tidak didedahkan kepada umum sejak terbabit dengan insiden kemalangan ski sembilan tahun lalu yang menyebabkannya mengalami koma. – AGENSI