PETALING JAYA: Kedah Darul Aman (KDA) menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi apabila memberi ‘Guard of Honour’ kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum sepak mula di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.
KDA FC dalam media sosial memberitahu, perbarisan hormat itu dibuat sebagai tanda bola sepak wadah perpaduan dan simbol hormat kepada lawan.
“Isyarat penghormatan daripada KDA FC dengan membawa tanda, bola sepak adalah perpaduan dan hormat kepada pasukan lawan.
“Seterusnya, membuktikan walaupun bermusuh di atas padang, namun hormat menghormati antara pasukan, penyokong adalah kunci kepada perpaduan sejagat melalui bolasepak,” jelas kenyataan tersebut.
Aksi Liga Super malam ini dilihat sesuatu yang menarik buat peminat bola sepak tanah akhir, terutama dengan ‘permusuhan’ di antara pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor.
Kekalahan Sabah kepada Terengganu FC, Sabtu lalu memastikan JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut ketika saingan masih berbaki empat perlawanan. – UTUSAN ONLINE