DALAM merencanakan kerjaya atlet yang memiliki potensi merentasi sempadan Asia Tenggara, hala tuju bekas penyerang bola sepak negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan juara pecut olahraga, Nazmizan Muhamad, wajar dijadikan kajian.
Biarpun mereka berbeza gelanggang, Akmal, anak jati Jitra, Kedah dan Nazmizan yang berasal dari Dungun, Terengganu, adalah rakan sebaya yang berdepan cabaran memutuskan langkah kerjaya seterusnya pada hujung usia belasan tahun pada 1999.
Di saat Akmal menyahut cabaran berkelana ke Strasbourg, Nazmizan pula dinasihatkan menolak tawaran biasiswa olahraga untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Idaho.
Bagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pelawaan Claude Le Roy untuk membawa Akmal ke Perancis disambut dengan peribahasa kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel, bingkas mengatur perjalanan Akmal, sambil memilih Juzaili Samion menemani pengembaraan Akmal di bandar Strasbourg.
Akmal dan Juzaili akhirnya disenaraikan dalam kelab divisyen empat Perancis, FR Haguenau, kelab yang juga dianggap pembekal bakat kepada Racing Strasbourg selama lebih setahun.
Selain menginap di asrama Pusat Pembangunan dan Pendidikan Sukan Wilayah Alsace (CREPS) sambil belajar bahasa Perancis di sebuah sekolah antarabangsa, Akmal dan Juzaili direzekikan menumpang manja dengan dua warga Malaysia, Mohammad Zakaria, seorang usahawan hati angsa dan seorang tukang masak, Wong Kok Thoong.
Sekembali ke tanah air, Akmal memenuhi potensi selaku penyerang unggul negara dari 2001 hingga 2008. Baru-baru ini Akmal membantu Pulau Pinang mara ke final Sukma selaku jurulatih.
Bagi Nazmizan pula, tawaran ke Idaho ditolak disebabkan dia belum bersedia dari pelbagai sudut.
Namun Nazmizan tidak dihimpit penyesalan. Empat tahun kemudian, Nazmizan bergelar juara berganda Sukan SEA, menjadi orang ketiga selepas Tan Sri Dr M. Jegathesan (1965) dan G. Rajalingam (1967) yang berbuat demikian.
Rezekinya kemudian hadir dalam bentuk latihan bersama jurulatih Michael Johnson, Clyde Hart, yang berpangkalan di Universiti Baylor, beberapa bulan menjelang Sukan Olimpik di Athens 2004.
Bagi juara 100m lelaki Sukma yang juga pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi, selain menimbang sama ada melanjutkan pelajaran ke Universiti Houston untuk bernaung di bawah juara Olimpik sembilan kali, Carl Lewis atau di Universiti Auburn di bawah kendalian bekas pemegang rekod dunia, Leroy Burrell, sistem sokongan juga perlu ditekankan.
Ini adalah keputusan yang harus dibuat oleh Azeem dengan bantuan ibu bapanya serta jurulatih Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah dengan mengutamakan masa depan dan kelestarian kerjaya anak muda dari Ipoh itu.
Bakat yang ada pada Azeem tidak boleh disia-siakan dengan membuat keputusan yang boleh mempengaruhi masa depannya. Elok juga andainya Amir Izwan menimba ilmu di Amerika Syarikat sambil menjadi mentor dan peneman Azeem di sana seandainya tiada ahli keluarga pakar pecut itu bersedia berbuat demikian.
Yang pasti di Amerika Syarikat, pelari pecut wanita Shereen Vallabouy dan Liew Wai Hon, bekas pelompat jauh Selangor, sedia menyambut kehadiran Azeem.
Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang.
PENULIS adalah juri anugerah
berprestij, Ballon d’Or