LONDON: Rundingan penajaan kasut bola Harry Kane dengan Nike dilaporkan tertangguh selepas syarikat barangan sukan gergasi Amerika Syarikat itu menunjukkan minat terhadap Erling Haaland.
Haaland secara tidak sengaja mungkin menyekat perjanjian baharu Kane kerana penyerang sensasi Manchester City itu kini menjadi keutamaan Nike.
Nike dikatakan enggan terburu-buru membuat perjanjian dengan kapten England dan bintang Tottenham, Kane bagi memperbaharui kontrak baharu kerana mahu menyesuaikan kewangan mereka sambil mengawasi Haaland.
Haaland, 22, yang tidak memiliki sebarang perjanjian telah menggunakan kasut bola pelbagai jenama – Nike, Adidas dan Puma ketika dia mendahului carta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 11 gol.

Kane pula terus memakai jenama Nike selepas mengikat kontrak lumayan pada masa lalu, dan akhbar The Telegraph melaporkan, pemain berusia 29 tahun itu berharap untuk menandatangani perjanjian baharu selepas tamat Piala Dunia pada 18 Disember.
Menurut The Telegraph, walaupun Haaland tidak akan berada di Qatar kerana Norway tidak layak ke Piala Dunia, namanya tetap laku.
Selain Nike, perjanjian Kane dengan Lucozade dan Beats juga sudah tamat. Abangnya, Charlie dan bapa pemain itu, Pat kini sedang berusaha mendapatkan perjanjian baharu.

Kane juga melantik bekas pengarah komersial Leyton Orient, Josh Stephens untuk meneruskan kontrak bersama Hugo Boss serta TCL.
Januari lalu semasa bersama Borussia Dortmund, Haaland dilihat memakai kasut bola usang selepas perjanjian Nike sebelum itu berakhir.
Perjanjian 1 juta pound (RM4.5 juta) penyerang itu dipercayai telah berakhir pada 1 Januari dengan khabar angin mengaitkan dia dengan perjanjian mega bersama Puma bernilai 8 juta pound (RM36.6 juta). – AGENSI