PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk memenangi gelaran sulungnya dalam Jelajah Dunia BWF tidak kesampaian apabila tewas dalam perlawanan akhir Terbuka Vietnam sebentar tadi.
Kejohanan yang bertaraf Super 100 ini menyaksikan Jin Wei gagal untuk menyaingi kehebatan peserta tuan rumah, Nguyen Thuy Linh apabila akur dengan keputusan 15-21, 13-21 dalam tempoh 32 minit.
Biarpun tewas, pujian harus diberikan buat pemain kelahiran Pulau Pinang kerana berjaya mara ke perlawanan akhir buat pertama kali selepas tempoh empat tahun, dengan kali terakhir adalah di Kejohanan Badminton Remaja Dunia, Markham Kanada pada 2018 apabila Jin Wei dimahkotakan dengan gelaran juara dunia buat kali kedua.
Selepas ini, Jin Wei dijadualkan beraksi di Masters Indonesia yang akan berlangsung pada 18 hingga 23 Oktober.