PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti akan memimpin tiga lagi pasukan lain bagi mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia lebih awal apabila empat perlawanan kedua pusingan 16 terbaik trofi itu akan berlangsung malam ini.
Skuad Harimau Selatan dilihat tidak berdepan masalah untuk ‘berpesta gol’ buat kali kedua di Stadium Sultan Ibrahim selepas melakukannya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada aksi pertama ketika menewaskan Petaling Jaya (PJ) City 4-0.
Begitupun, tiga perlawanan lagi menyaksikan peluang masih terbuka buat enam pasukan berkenaan terutamanya aksi melibatkan Penang FC yang berkunjung ke Stadium Negeri berdepan Kuching City.
Kelantan FC yang memiliki kelebihan satu gol, pastinya enggan dimalukan di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, apabila menerima kunjungan Sarawak United.
Lautan merah bakal terbentuk di Kota Bharu apabila jualan tiket untuk aksi tersebut mendapat sambutan cukup baik sekali gus bakal memberi motivasi tambahan buat Kelantan FC.
Sementara itu, Sabah FC pula mahu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk menunjuk jalan keluar kepada pasukan ‘budak universiti’ iaitu UiTM FC menjelang aksi kedua tersebut.
Di atas kertas dalam kesemua perlawanan malam ini ,empat pasukan yang dijangka mampu mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia adalah JDT, Kelantan FC, Sabah dan Kuching City.-UTUSAN