PETALING JAYA: Pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG), Harrif Saleh menutup kempen Jelajah Taiwan dengan menjuarai peringkat kelima yang juga peringkat terakhir perlumbaan.
Peringkat kelima perlumbaan menyaksikan pelumba berkayuh mengelilingi Zon Rekreasi Teluk Dapeng sejauh 156 kilometer.
Harrif, 35, berjaya meloloskan diri daripada kelompok hadapan peloton seterusnya memintas pelumba UKYO, Raymond Kreder untuk bergelar juara.
Ia juga pengubat duka buat Harrif yang sebelum ini dikecewakan Kreder dalam penentuan juara pada peringkat keempat.
“Hari ini hari terakhir Jelajah Taiwan dan saya sangat gembira dapat memenangi perlumbaan dengan menduduki tempat pertama.
“Rakan sepasukan membantu saya 100 peratus dan membawa saya ke hadapan, sehingga 200 meter terakhir. Saya memberi tumpuan penuh untuk pecut, dan Alhamdulillah rezeki saya mendapat nombor satu hari ini.
“Terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong pasukan TSG, dan Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik di Langkawi nanti,” jelas Harrif yang bakal turut menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan berlangsung 11 hingga 18 Oktober depan. – UTUSAN ONLINE