PETALING JAYA: Setelah menanti selama dua tahun, akhirnya bekas juara pecut kebangsaan Hamberi Mahat sah menggalas tugas sebagai jurulatih pecut olahraga para negara.
Perkara ini disahkan oleh Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd. Sofian Hamzah yang menjelaskan Hamberi sudah memulakan tugasnya sebagai jurulatih sejak 1 Oktober lalu.
Hamberi yang merupakan juara 100 meter kebangsaan 2001 pernah dikaitkan dengan pelantikan jurulatih skuad olahraga para pada 2020, namun impian itu tidak berjaya direalisasikan apabila MSN masih menaruh keyakinan kepada R.Jeganathan.
Selepas kontrak Jeganathan tidak disambung pada awal tahun ini, skuad olahraga para dijaga seketika pembantunya, Ahmad Rafee Ariffin.
“Selepas Jeganathan tidak lagi bersama pasukan, kita mencari seorang jurulatih yang mempunyai kebolehan membawa atlet pecut ke tahap lebih baik, jadi kita merasakan Hamberi memiliki kriteria itu dan bersesuaian untuk menyiapkan barisan atlet kita ke Paralimpik Paris.
“Hamberi dilantik sebagai jurulatih pecut para, kita belum lagi melantik ketua jurulatih, jadi setakat ini setiap jurulatih para akan menjaga atlet bagi acara masing masing terlebih dahulu,” jelas Sofian.
Hamberi pernah mempunyai pengalaman membimbing skuad olahraga negara apabila mengendalikan atlet pelapis kebangsaan dari 2007 sehingga 2012 dan terlibat dalam penyediaan atlet dalam program Kita Juara untuk Sukan SEA 2017.
Kontrak Hamberi bersama MSN adalah sehingga 2024 dengan misi untuk memastikan skuad pecut olahraga para menebus kekecewaan di Tokyo tahun lalu dengan kembali menuai emas di Sukan Paralimpik Paris.
Sentuhan Hamberi amat ditagih bekas juara dunia, Mohammad Ridzuan Puzi yang beraksi dalam kategori T36 apabila gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Rio 2016 dengan menamatkan saingan 100 meter pecut di kedudukan keempat. – UTUSAN ONLINE