MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menegaskan, Erling Haaland belum berada pada tahap Lionel Messi kerana pemain sedang meningkat itu masih bergantung kepada rakan sepasukannya untuk menjaringkan gol.
Penyerang Norway itu meledak hatrik ketiga pada musim pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris ketika membantu City membenam Manchester United 6-3, Ahad lalu.
Haaland dijangka meneruskan prestasi baik di pentas Eropah apabila City menerima kunjungan kelab Denmark, Copenhagen dalam aksi Liga Juara-Juara esok.
Guardiola memuji sumbangan pemain berusia 22 tahun itu, namun berpendapat Messi berada dalam kelas berbeza kerana mampu meledak gol ‘seorang diri’, terutama ketika menyarung jersi Barcelona.
“Perbezaan mereka, Erling mungkin memerlukan semua rakannya untuk menjaringkan gol. Memang sukar dipercayai namun Messi mempunyai keupayaan sendiri untuk melakukannya,” kata Guardiola.
Susulan komen tersebut, para peminat menggunakan media sosial membincangkan perkara itu dan ada yang mengkritik Guardiola kerana memperkecilkan bakat Haaland dan selebihnya memuji Messi.
Seorang penyokong menulis: “Itulah kebenarannya. Messi tidak perlu disuap, namun pemain lain perlukan bantuan”.
Kenyataan itu kemudian disokong peminat lain yang menulis: “Jika Messi bermain dalam Liga Perdana Inggeris pada zaman keemasannya, mereka akan menjadi gila.”
City dijangka meneruskan prestasi luar biasa di pentas domestik dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan G. – AGENSI