PETALING JAYA: Pentas akhir Piala AFC antara Kuala Lumpur (KL) City dan kelab Oman, Al Seeb yang dijadual berlangsung pada 22 Oktober ini akan beralih ke Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini menjelaskan perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan venue tersebut telah dimasukkan dalam jadual di laman web rasmi badan induk berkenaan.
Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak bagaimanapun menjelaskan venue tersebut terpaksa ditukarkan ke Stadium Nasional susulan isu teknikal.

“Ya (final di Bukit Jalil) kerana mereka perlu menggunakan VAR dan mereka juga perlu mempunyai 1800 lux untuk kecerahan (lampu limpah), ia berkaitan isu teknikal.
“Semua pemain dan barisan jurulatih mahu bermain di Cheras, kerana kami sudah biasa bermain di sana. Tapi disebabkan isu teknikal, kami terpaksa bermain di Bukit Jalil,” katanya.

Bercakap tentang kekalahan dengan 1-2 Terengganu FC dalam aksi Liga Super kelmarin, Hodak menyifatkan kesilapan ketika bertahan terutama pada babak pertama menghukum pasukannya.
“Semasa bertahan, kami melakukan beberapa kesilapan dalam babak pertama, masa kedua lebih baik yang mana kami jaringkan satu gol tapi tidak cukup.
“Apa yang paling mengejutkan saya adalah gol kedua (TFC) yang terhasil hanya beberapa saat sebelum berakhir babak pertama yang mana anda tidak boleh melepaskan gol mudah seperti itu,” ujarnya.