AUSTIN,Texas: Kejayaan Max Verstappen menjuarai Grand Prix (GP) Amerika kelmarin bukan sahaja membolehkan Red Bull dinobat sebagai pengeluar terbaik Formula Satu (F1) musim ini, malah ia menandakan penguasaan penuh pasukan itu dalam perlumbaan.
Ia juga kejayaan bermakna sebagai penghormatan kepada salah seorang pengasas Red Bull, Dietrich Mateschitz yang meninggal dunia sehari sebelum perlumbaan berlangsung.
Justeru kejayaan Red Bull itu telah menamatkan kemarau kemenangan selama sembilan tahun pasukan tersebut sejak kali terakhir memenanginya pada 2013, sekali gus menamatkan dominasi Mercedes sejak memperkenalkan teknologi formula enjin turbo-hybrid dalam F1.
“Selepas lapan tahun, kami tidak pernah berhenti untuk percaya dan yakinkan diri kami untuk melupakan objektif kami, iaitu menjadi juara dunia untuk pemandu dan pengeluar, dan kami berjaya melakukannya.
“Semangat Mateschitz masih membara dalam diri setiap ahli Red Bull yang membolehkan kami mencapai apa yang orang ramai sangkakan adalah mustahil,” kata prinsipal pasukan, Christian Horner.
Bagaimanapun kejayaan gemilang Red Bull turut dibayangi kontroversi pelanggaran bajet siling setelah Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mendapati pasukan itu berbelanja AS$146.8 juta (RM692 juta), melebihi AS$1.8 juta (RM8.53 juta) had ditetapkan.
FIA dalam proses menawarkan Red Bull perjanjian persetujuan pelanggaran (ABA), iaitu penalti yang bakal dikenakan dan pasukan tersebut boleh memilih untuk membawa kes ke penghakiman bebas. – AGENSI