PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin melepasi tentangan sengit pasangan muda Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin untuk mara ke suku akhir badminton Terbuka Perancis di Paris, hari ini.
Pasangan No. 9 dunia itu dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan 1 jam, 18 minit untuk menang 21-18, 17-21, 22-20.
Ee Yi-Yew Sin yang diletak sebagai pilihan kelapan kini akan berdepan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho pada suku akhir esok.
Biarpun tidak menghadapi masalah di set pertama, namun skrip di set kedua tidak memihak beregu negara.
Perlawanan berlanjutan ke set ketiga dengan Leo dan Daniel sering melengahkan permainan, termasuk mengadu masalah lampu limpah di kawasan mereka sebelum diberikan kad kuning oleh pengadil.
Tan/Muralitharan 🇲🇾 take to the court against Kusuma/Pratiwi 🇮🇩.#BWFWorldTour #FrenchOpen2022 pic.twitter.com/1JSQZiz1xU
— BWF (@bwfmedia) October 27, 2022
Sementara itu, beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah tidak kurang hebat apabila menyingkirkan pasangan Indonesia, Febriana Dewipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-16, 21-14.
Tugas getir menanti pasangan No. 11 dunia itu apabila dijadual bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida esok.
Tiga lagi wakil negara bakal turun berjuang selepas ini membabitkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran). – UTUSAN ONLINE