Dua gol minit terakhir Sabah hampakan Sri Pahang

Dua gol minit terakhir Sabah hampakan Sri Pahang

SABAH kekal di tangga kedua Liga Super selepas menumpaskan Pahang 2-1.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua gol pada minit-minit akhir membolehkan Sabah menewaskan Sri Pahang 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur malam ini.

Walaupun tuan rumah terlebih dahulu mendapatkan gol tetapi anak buah Datuk Ong Kim Swee berjaya membalas dua gol cukup berharga dalam tempoh lima minit terakhir.

Sri Pahang banyak menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Sabah sementara pihak lawan cuma sesekali mencuri peluang cuba menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Bagaimanapun penyerang import Sri Pahang, Steven Rodriguez patut menyalahkan diri sendiri apabila sering kali gagal untuk mencetak gol.

Deretan peluang dimiliki penyerang import dari Colombia itu masih tidak dapat menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

Bermula minit ke-11, 14, 19 dan 23, Rodriguez melepaskan deretan peluang menjaringkan gol apabila ketangkasan Khairul Fahmi menjadi penghalang untuk tuan rumah membuka tirai jaringan.

Peluang terbaik Sri Pahang untuk mendahului Sabah hadir pada minit ke-38 apabila sepakan deras Manuel Hidalgo terus ke dakapan Khairul Fahmi atau dikenali Apek.

Sabah turut mempunyai peluang untuk mendahuli tuan rumah tetapi penjaga gol, Mamadou Samassa juga kebal menjaga gawang Sri Pahang.

Pada minit ke-14, sepakan ketua pasukan, Badrol Bakhtiar hanya sedikit melepasi palang gol sementara beberapa percubaan merbahaya pelawat juga tidak membuahkan hasil hingga separuh masa pertama tamat.

Rentak perlawanan tidak banyak berubah dengan Sri Pahang masih menguasai perlawanan sementara Sabah lebih banyak bertahan dan pengalaman Khairul Fahmi nyata digunakan sepenuhnya.

Minit ke-57, sepakan percuma yang diambil Saddil Ramdani dari luar kotak penalti berjaya melepasi hadangan pertahanan Sri Pahang tetapi sempat ditepis keluar Samassa.

Rodriguez akhirnya berjaya menebus kekecewaan apabila menewaskan Apek melalui tandukan pada minit ke-85 untuk Sri Pahang mengatasi Sabah 1-0.

Bagaimanapun Sabah tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol penyamaan melalui Dominic Tan pada minit ke-89. Gol kemenangan Sabah diperoleh pada minit ke-92 menerusi jaringan Taesu Park. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya