SEPANG: Jentera yang kurang kompetitif dan kerap tewas di laluan lurus menjadi punca kepada pelumba wild card (jemputan) negara, Syarifuddin Azman atau Damok terlepas peluang mengutip mata berharga dalam saingan kelas Moto3 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia dekat sini, hari ini.
Damok yang mewakili pasukan Visiontrack Racing Team mencatat masa 38 minit 19.401 saat (s) setelah melengkapkan aksinya di kedudukan ke-16 iaitu hanya dipisahkan satu anak tangga daripada kedudukan bermata.
Pelumba Great Britain, John McPhee (Sterilgarda Husqvarna Max) mencipta masa terpantas 38:04.5890s untuk menjuarai perlumbaan tersebut.
Rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki dari Jepun berada di tempat kedua (+0.048s) dan pelumba Sepanyol, Sergio Garcia dari Gaviota GASGAS Aspar Team di kedudukan ketiga (+0.146s).
Kejayaan McPhee mengungguli kejuaraan di Malaysia juga merupakan kemenangan pertamanya sejak kali terakhir berbuat demikian pada GP San Marino, dua tahun lalu.
Damok ketika ditemui pemberita berkata, masalah jenteranya yang kurang menyengat di laluan lurus telah menyaksikan pelumba Red Bull KTM Ajo, Adrian Fernandez berjaya merampas kedudukan ke-15 daripadanya.
“Saya cuba bersaing sengit dengan Fernandez yang memacu jentera KTM, tetapi malangnya setiap kali di laluan lurus dia akan memintas saya.
“Saya sukar hendak memintas, saya cuba tutup laluan, tetapi saya hanya tamat di kedudukan ke-16,” katanya.
Menurut Damok, dia telah melakukan sehabis baik untuk mempamerkan persembahan yang boleh membuat peminat berbangga dengannya.
“Beraksi di laman sendiri sangat berbeza jika dibandingkan dengan perlumbaan di luar negara. Di sini peminat Malaysia sanggup datang ke trek untuk memberi sokongan.
“Terima kasih kepada penonton yang datang, saya memang ada dengar peminat menjerit-jerit memberi sokongan kepada saya,” ujarnya.
Mengulas perlumbaannya selepas GP Malaysia, anak muda berusia 21 tahun itu memberitahu, dia akan kembali beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia Junior GP di Valencia, minggu depan.
“Saya akan terbang ke Valencia, esok dan berharap dapat mencatat keputusan podium,” jelasnya.