Bajet 2023 dimanfaat untuk Sukan SEA, Sukan Asia

Bajet 2023 dimanfaat untuk Sukan SEA, Sukan Asia

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Ahmad Faizal Azumu melepaskan peserta ‘fun ride’ sempena Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2022 di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya semalam. - UTUSAN/MUHAMMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan bakal memanfaatkan peruntukan Bajet 2023 sebagai persediaan bagi negara berdepan Sukan SEA dan Sukan Asia pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peningkatan dana untuk kementerian itu turut membuktikan iltizam tinggi kerajaan dalam pembangunan sektor sukan tempatan.

“Alhamdulillah dan terima kasih Kementerian Kewangan kerana menaikkan peruntukan untuk kami dan memang baik bagi bidang sukan negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan pelancaran Visi Sukan Negara 2030 bersempena Hari Sukan Negara 2022 peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SEORANG peserta kanak-kanak melakukan sukan ‘Flatland Skim Boarding’ sempena Hari Sukan Negara 2022 di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Program tahunan mula diperkenalkan sejak 2015 dan berlangsung pada Sabtu minggu kedua Oktober itu kali ini disertai seramai 4.5 juta peserta di seluruh negara melibatkan 56 program.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi berita gembira apabila sejumlah RM322 juta diperuntukkan untuk sukan tanah air dalam Bajet 2023.

Jumlah itu melonjak RM88 juta berbanding hanya sebanyak RM244 juta disediakan ketika pembentangan Bajet 2022 untuk dimanfaatkan kementerian berkenaan sepanjang tahun ini.

Daripada amaun tersebut, RM154 juta dikhaskan demi menjayakan pembangunan ekosistem sukan negara yang menyeluruh termasuk pencarian bakat dan pelbagai lagi program latihan

PESERTA OKU tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti Hari Sukan Negara.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Faizal berkata, pihak kementerian turut bersyukur kerana baki RM145 juta disediakan bagi menyelenggara, menaik taraf dan membina banyak fasiliti sukan.

“Insya-Allah jumlah ini memadai untuk program elit Podium sebagai persiapan rapi atlet kita berdepan Sukan SEA ke-32 di Kemboja dan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China,” jelasnya.

Skim Podium mula dilaksanakan pihak kementerian itu sejak 2015 dengan asalnya diletak di bawah Institut Sukan Negara sebelum dipindahkan kepada Majlis Sukan Negara pada 2018.

Justeru, beliau mengharapkan atlet negara akan membalas peruntukan disediakan itu dengan membawa balik banyak pingat terutama emas daripada pelbagai kejohanan di luar negara.

Ini tambahnya, termasuk dana sebanyak RM12 juta untuk program pembangunan sukan Orang Kurang Upaya dalam misi melahirkan ramai atlet paralimpik yang bertaraf antarabangsa.

Pada masa yang sama beliau memberi jaminan bahawa nasib ramai bekas atlet yang pernah berjasa mengharumkan nama negara tidak dilupakan pihak kerajaan menerusi Bajet 2023.

Ia ujar Ahmad Faizal, terbukti apabila RM5 juta diperuntukan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan bagi membela kehidupan mereka setelah bersara menceburi bidang berpotensi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya