VALENCIA: Francesco Bagnaia menegaskan, dia tidak akan menunggang dengan terlalu berhati-hati pada perlumbaan terakhir di Valencia minggu depan biarpun hanya memerlukan dua mata lagi untuk bergelar juara MotoGP dunia.
Penunggang Ducati itu menjuarai Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang minggu lalu, namun dengan pelumba Yamaha, Fabio Quartararo menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, kemenangan tersebut tidak memadai untuk memberi kejuaraan dunia.
Bagnaia boleh memilih untuk berlumba secara ‘selamat’ bagi merampas kejuaraan dunia daripada Quartararo, sekali gus menghadiahkan gelaran pertama buat Ducati sejak 2007.
Quartararo sebaliknya perlu menang di Sepanyol untuk mempertahankan kejuaraan.
Biarpun boleh memilih jalan kurang berisiko, Bagnaia menegaskan, dia tidak akan menukar gaya tunggangan dan cuba memenangi perlumbaan.
“Pastinya daripada segi memburu kejuaraan, ia (berhati-hati) pendekatan lebih baik tetapi biasanya kalau anda terlalu berhati-hati, boleh memberi masalah lain.
“Lebih sukar sebenarnya melakukan sesuatu dalam kelompok pelumba yang ramai, tayar hadapan akan menghadapi tekanan, jadi saya akan buat seperti biasa, bukan seperti hujung minggu lalu kerana terlalu banyak kemalangan.
“Apa pun saya perlu bijak, fahamkan semuanya, dan jika ada kemungkinan untuk menang dalam perlumbaan itu saya akan cuba menang.
“Saya akan menunggu hari Jumaat di Valencia, mengharapkan keadaan litar di sana kering dan kemudian kita sama-sama lihat apa yang akan berlaku,” katanya.
Bagnaia mengharungi perlumbaan yang sukar di Malaysia meskipun bergelar juara kerana terjatuh pada sesi kelayakan pada Sabtu dan berada di grid kesembilan.
Bagaimanapun, penunggang dari Itali itu berkata, dia akan berlepas ke Valencia dengan menyedari bahawa dia memenangi GP Malaysia ‘tanpa terlalu memaksa motosikalnya’.
“Sekarang saya boleh berehat. Hujung minggu lalu (di Malaysia) agak sukar atas sebab kesilapan yang saya lakukan (pada Sabtu).
“Jadi, apabila ke Valencia nanti saya ingin memahami bahawa kami boleh menjadi kuat tanpa terlalu memaksa jentera seperti yang dilakukan pada Sabtu lalu,” katanya. – AGENSI