RAUB: Pelumba negara, Nur Aiman Zhariff mengotakan janjinya apabila menyambar jersi merah, Raja Bukit selepas menamatkan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Kuala Klawang ke Raub, sebentar tadi.
Aiman berjaya merampas jersi tersebut daripada rakan sepasukannya, Saibanyar Jambaljats sepanjang dua zon pendakian yang ditawarkan iaitu di Petaseh dan Bukit Damar untuk mengutip keseluruhan 17 mata.
Pada peringkat pertama semalam, pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG) itu turut memberikan tentangan sengit kepada Jambaljats namun tersilap langkah menyaksikan dia berputih mata untuk menyarung jersi berkenaan lebih awal.
“Ahamdulillah memang saya sasar untuk menang jersi merah dari semalam lagi. Cuma semalam ada melakukan kesilapan.
“Saya baiki kesilapan itu dan berjaya merampasnya semula, kerana itu sasaran saya untuk edisi tahun ini. InsyaAllah saya cuba mempertahankannya sehingga tamat edisi,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.
Kata Aiman, 25, dia turun pada edisi ke-26 perlumbaan dengan misi mempertahankan gelaran Raja Bukit yang dimenangi dalam LTdL 2020 ketika berlumba bersama pasukan Sapura.– UTUSAN ONLINE