LANGKAWI: Hampir tidak mendapat tempat dalam pasukan, Nur Aiman Zhariff akhirnya membalas kepercayaan Terengganu Polygon Cycling (TSG) menyenaraikan namanya pada saat akhir dengan mempertahankan jersi merah, Raja Bukit selepas tamat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 hari ini.
Pelumba berusia 25 tahun itu pada asalnya bukanlah pilihan pasukan TSG untuk beraksi dalam saingan ini, namun dimasukkan saat akhir, sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah dilakar pada edisi 2020 bersama pasukan Sapura Cycling (TSC).
Perlumbaan sejauh 115.9 kilometer (km) mengelilingi Pekan Kuah, Langkawi semalam menyaksikan Aiman berjaya mengumpul keseluruhan 29 mata untuk ditabalkan sebagai Raja Bukit untuk edisi kali ini.
“Ini satu sejarah pelumba Malaysia berjaya meraih jersi merah dua kali berturut-turut tatkala saingan kali ini sangat bermakna dengan kehadiran enam pasukan Jelajah Dunia tapi saya masih boleh buat sesuatu di laman sendiri,” kata Aiman yang memegang jersi tersebut sejak peringkat kedua perlumbaan dari Kuala Klawang ke Raub.
Lebih menarik, TSG yang hanya bergantung kepada empat pelumba sahaja selepas ketiadaan Harrif Salleh dan Youcef Reguigui turut berjaya mendapatkan jersi putih, pelumba Terbaik Asia, menerusi Jambaljamts Sainbayar.
Tuah juga buat pasukan berpengkalan di Pantai Timur itu apabila dinobatkan sebagai pasukan Terbaik Asia untuk edisi ini.
Juara peringkat kelapan milik pelumba pasukan Burgos-BH, Alex Molenaar, namun ia tidak mengubah kedudukan pemegang jersi utama, iaitu Ivan Ramiro Sosa yang mewakili Movistar untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan setelah menyarung jersi kuning.
Jersi Hijau, Raja Pecut kekal menjadi milik Erlind Blikra daripada pasukan Uno-x Pro Cycling. – UTUSAN ONLINE