2,000 peserta dijangka hangatkan IGMR 2022

2,000 peserta dijangka hangatkan IGMR 2022

WAN Sukairi Wan Abdullah (tiga dari kanan) dan Tengku Farok Hussin (tiga dari kiri) hadir merasmikan Majlis Pra-Pelancaran International Golden Monsoon Ride (IGMR) 2022 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: International Golden Monsoon Ride (IGMR) 2022 dijangka menarik penyertaan hampir sekali ganda berbanding tahun lalu dengan 2,000 peserta bakal menghangatkan cabaran di  Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) pada 17 Disember ini.

Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, selain peserta tempatan, peserta Indonesia, Thailand dan Singapura juga akan memeriahkan IGMR 2022.

Menurut beliau, penganjuran edisi kedua itu turut menampilkan kelainan dengan laluan berbukit yang lebih mencabar bagi acara utama ‘Mountain Bike’ (MTB) sejauh 37 kilometer (km).

Pada penampilan pertama tahun lalu, perlumbaan lasak itu berjaya menarik kehadiran 1,000 peserta.

“Empat kategori akan dipertandingkan bagi acara MTB iaitu elit lelaki, novis lelaki, ‘master’ lelaki dan terbuka wanita serta kategori ‘fun ride off road’ dan ‘fun ride on road dengan jarak 43km.

“Pemenang tempat pertama hingga ke-10 bagi setiap kategori juga akan merebut hadiah kemenangan RM22,050 selain cabutan bertuah bernilai RM112,300 termasuk sebuah kereta Perodua Myvi.

“Lebih menarik lagi, IGMR 2022 telah mendapat penarafan antarabangsa untuk menarik lebih ramai penyertaan. Jadi kami mengalu-alukan kedatangan peserta luar negara.

“Sehingga hari ini, hampir 1,000 peserta telah mengesahkan penyertaan dan kejohanan ini akan menjadi pemangkin sektor sukan, ekonomi dan pelancongan negeri,” katanya.

Tengku Farok Hussin berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran IGMR 2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Jelas Tengku Farok Hussin lagi, laluan trek di TIEP yang sinonim dengan laluan sukan berkuda akan memberikan cabaran buat peserta selain merasai pengalaman perlumbaan dalam cuaca monsun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya