PETALING JAYA: Bekas pemain No.1 Dunia, Roslin Hashim percaya, Lee Zii Jia memerlukan khidmat pakar psikologi ketika ini bagi membantunya menghadapi tekanan di dalam dan luar gelanggang.
Juara Asia itu sekali lagi menerima kejutan apabila tumbang seawal pusingan pertama Terbuka Jepun semalam kepada wakil India, Srikanth Kidambi 20-22, 21-23.
Kekalahan itu hadir seminggu selepas Zii Jia tersingkir pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia, sekali gus membangkitkan kecaman peminat terhadap pemain berusia 24 tahun itu biarpun beberapa hari lalu dia naik satu anak tangga ke ranking No. 4 dunia.
Roslin yang pernah berada dalam Zii Jia menyarankan perseorangan utama negara itu mendapatkan bantuan psikologi kerana dia kini pemain bertaraf dunia yang akan sentiasa mendapat perhatian umum.
“Dia perlu sedar dia kini dalam sukan berprestasi tinggi dan sandaran utama negara.
“Lihat sahaja apabila dia tewas, ramai mengecamnya di media sosial, seperti mereka menantikan dia kalah, jadi amat wajar untuk dia mendapatkan bantuan psikologi bagi membantu menguatkan mentalnya.
“Saya lihat dia seperti belum melupakan episod kekecewaan (Kejohanan Dunia) sehingga terbawa pada Terbuka Jepun.
“Bahasa badannya juga tidak seperti yang ditunjukkan dalam gelanggang, mungkin penat atau terkenang kekecewaan lalu.
“Kalah pusingan pertama normal, kerana banyak pemain mengalaminya tetapi bagaimana dia mahu bangkit selepas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain Indra Wijaya yang bertindak sebagai jurulatih, Zii Jia turut dibantu Sandra Fiedler sebagai pakar fisioterapi dan jurulatih kecergasan, Lim Joe Hang.
Dalam masa sama, penolong jurulatihnya, Liew Daren turut sama tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Kodai Naraoka, 17-21, 21-18, 6-21.
Beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Lim Khim Wah juga turut tewas kepada Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 19-21, 15-21.
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing begitupun meneruskan cabaran beregu campuran mengatasi rakan sepasukan, Chan Peng Soon-Cheah Yee See 21-10, 21-14 untuk mara ke pusingan kedua.