KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan (Wipers) mempamerkan aksi dominan untuk menggondol pingat emas dalam acara berpasukan gimnastik artistik Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini.
Dalam acara berpasukan yang mempertandingkan empat apparatus iaitu melombol, palang bertingkat, batang titian dan senaman lantai menyaksikan pasukan Wipers mengumpul markah tertinggi 177.450 mata untuk mengungguli saingan.
Pingat perak pula menjadi milik Johor dengan kutipan 166.250 mata, manakala, Pulau Pinang meraih 166.100 mata bagi melayakkan mereka memenangi gangsa.
Ketua jurulatih Wipers, Sam Thong ketika ditemui pemberita berkata, anak-anak buahnya beraksi dengan cukup cemerlang, hari ini, sehingga mampu memenangi pingat emas berpasukan yang sama sekali tidak diduga.
“Mereka mempamerkan persembahan yang cukup hebat dan berhak menang pingat emas.
“Kita sebenarnya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi emas berpasukan, sebab sudah lama kita tidak menang dalam acara ini,” katanya.
Ketika ditanya faktor pendorong kepada kemenangan, hari ini, Sam memberitahu, keinginan yang tinggi untuk menang telah membawa kepada kejayaan tidak diduga itu.
“Selepas kecederaan Geanie (Ng Ee Ling), kami memang tak letak harapan langsung untuk acara berpasukan dan hanya fokus bagi acara individu,” ujarnya.
Sementara itu, dalam acara all-around, gimnas Pulau Pinang, Zarith Imaan Khalid mememangi pingat emas menerusi pungutan mata 49.300.
Untuk pingat perak dan gangsa, menjadi milik dua gimnas Wipers iaitu Marissa Zaiful Azian (45.450 mata) dan Hannah Yasmeen Mazwan (44.800 mata).
Dalam pada itu, lapan gimnas terbaik dalam setiap apparatus akan bersaing di pentas akhir, Isnin ini. – UTUSAN ONLINE