LONDON: Thierry Henry gembira dia bersara sebelum video bantuan pengadil (VAR) diperkenalkan kerana percaya teknologi tersebut telah ‘membunuh’ keseronokan bola sepak.
Henry yang menjulang Piala Dunia bersama Perancis pada 1998 berkata, pada dasarnya dia tidak mempunyai masalah dengan teknologi itu tetapi kecewa kerana ia melewatkan permainan.
Pemegang rekod penjaring gol terbanyak Arsenal itu berpendapat, VAR menimbulkan kontroversi baharu dan tidak mengurangkan perbalahan mengenai keputusan pengadil.
“Dalam bola sepak kita masih ketinggalan, banyak yang perlu kita pelajari.
“Apa yang saya boleh lihat dalam American Football, ragbi, kriket atau apa sahaja, tenis, keputusan dibuat serta-merta,” katanya dalam persidangan perniagaan sukan Leaders Week di London.
Henry, 45, yang kini menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan Belgium berasa terganggu dengan keputusan lambat VAR.
“Kemudian ia tetap keputusan seseorang di dalam trak atau di mana sahaja mereka berada, kerana bukan VAR yang membuat keputusan, VAR hanya untuk mengimbas kembali keadaan,” katanya.
Henry berkata ketidakpastian yang menyelubungi VAR menghalang kegembiraan serta-merta.
“Apa yang kita mahu lihat ialah permainan yang sedang berlangsung.
“Satu lagi perkara yang sangat sukar bagi saya ialah saya pernah menjaringkan gol sebagai pemain. Kadang-kadang (sekarang) anda tidak tahu sama ada anda perlu melompat.
“Adakah saya melompat? Adakah saya meraikan? Adakah saya tidak meraikan? Ia membunuh rentak kegembiraan permainan,” katanya. – AGENSI